: : Menu : :
 : : Home
 : : About
 : : Patani
 : : Articles
 : : Sejarah
 : : Gallery
 : : Contact
 : : An Appeal from       Patani / To the       UN
  : : Statements
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 :: Articles ::

Bandaraya Pattani: Antara Wawasan dan Khayalan yang Memerangkapkan

Semenjak 4 tahun lalu General Chavalit Yongchaiyudh bekas Perdana Menteri Thailand pernah mengemukan idea Bandaraya Pattani (Mahanakhorn Pattani) sebagai satu pendekatan atau wawasan untuk memenangi hati rakyat Patani dalam mencari penyelesaian bagi pergolakan yang berlarutan lebih dari 100 tahun itu, dan pada tahun ini 2009 idea itu dibangkit dan ditunjul kembali dengan lebih bertenaga lagi.

Berdasarkan apa yang dijelaskan oleh Prof Dr Somchai Virutaphol setiausaha agong jawatankuasa bagi membawa kedamaian untuk kawasan selatan dalam satu temu ramahnya dengan para pemberita Muslim Thai (http://www.muslimthai.com) beliau memberi gambaran tentang lakaran idea Bandaraya Pattani yang nampak semacam satu khayalan, yang di luar kemampuannya sendiri untuk di capai, tapi pada waktu yang sama mengharapkan dokongan yang tidak berbelah bagi dari rakyat Patani

Penulis cuba menghayati huraian dan penjelasan Prof. Dr. Somchai tentang wawasan tersebut, penulis dapat merasakan semacam berada dalam buaian mimpi, ia adalah mimpi di siang hari, ia adalah satu khayalan tidak lebih dan tidak kurang. Dari mana keyakinan dan asas pemikiran dan kewajaran untuk melaksanakan wawasan yang begitu hebat sehebat Putra Jaya di Selangor Malaysia ?!.

Tiga daerah (kapho, Raman dan Resak ) yang terletak di sempadan ketiga-tiga negeri (Patani, Jala dan Menara) akan digabungkan menjadi satu bandaraya antara bangsa di atas tapak seluas 10,000 rai (2,500 ekar), yang akan di bina di atasnya sebuah masjid terbesar di Asia yang boleh memuatkan para jemaah paling kurang 30,000 jemaah pada satu-satu masa, yang akan diberi nama (Masjid Nusantara), juga akan di bina sebuah universiti juga dengan nama (Universiti Nusantara) yang akan menjadi pusat sains halal serantau yang terbesar didunia, dua pangkalan laut terbesar di Thailand akan dibina satu di Perairan Patani dan satu lagi di perairan Setul. Apabila siap nanti para jamaah haji boleh menggunakan merkhidmatan kapal persiaran tercanggih bertaraf 5 bintang yang lengkap dengan semua kemudahannya, dengan mengenakan tambang hanya antara 30,000 – 40,000 Bhat yang akan memakan masa hanya 3 hari pelayaran ke Arab Saudi.

Semua ini akan di lakukan sesuai dengan keagongan Patani di zaman silamnya, keagongan kerajaan silamnya Langkasuka. Ia perlu dikembalikan dan di realisasikan semula di tiga wilayah selatan yang pernah menjadi pusat perdagangan serantau, dan pusat ilmu Islam serantau sesuai dengan nama jolokannya Serambi Mekah.

Itulah wawasan, lakaran, gambaran, khayalan, idea, model dan mungkin banyak lagi kosa kata yang mungkin dipilih untuk menjadi tajuk kepada idea General Chavalit Yongchaiyudh. Penulis merasakan berada di awang awangan membayangkan betapa hebatnya negara ku Patani, betapa agongnya bangsa ku, bangsa Melayu Patani, betapa bertuahnya bumi ku yang akan di sanjong seantero dunia. Tapi itu semua adalah satu khayalan semata-mata, ia tidak lebih dari cerita indah seorang lelaki (atau yang menganggapkan dirinya sebagai ayah) yang memberi pengharapan tinggi kepada kanak-kanak di bawah jagaannya tentang perkara yang akan dapat diberinya nanti, walaupun kanak-kanak tersebut tidak mengindahkannya, supaya mereka dapat melupakan permintaan dan berhenti sekejap dari gesaan untuk mendapatkan sesuatu perkara yang sengaja tidak mahu ditunaikan oleh lelaki terseut.

Kenapa idea atau model Bandaraya Pattani yang dicetuskan oleh General Chavalit Yongchaiyudh sesuatu yang boleh dianggap sebagai satu khayalan bukan satu pelan dan wawasan jangka panjang seperti projek mega lain contohnya Pusat Pentadbiran Putra Jaya di Malaysia yang di rancang pada awal 1990 lagi, ia boleh berlaku dan sudah menjadi kenyataan, tapi idea ini hanyalah ilustrasi semata-mata kenapa ? sebabnya ialah:

1. General Chavalit Yongchaiyudh adalah dari parti pembangkang yang mengetuai sebuah parti baru Pegha Thai (Untuk Thai), yang tidak mempunyai kuasa yang cukup untuk merealisasikannya dan hanya sekadar mengharapkan sokongan pengundi-pengundi dari kalangan orang Melayu Patani, beliau berpegang kepada satu polisi: Memenangi hati Rakyat (ให้เอาชนะหัวใจและความคิด Heart and Mind), melalui polisi ini beliau mencetuskan idea tersebut dengan mengharapkan pengundi-pengudi dari Patani akan terpikat dengan wawasan agong yang tak pernah mereka terbayang boleh berlaku di Patani sebelum ini. Beliau tidak menjelaskan apakah cara dan bagaimana untuk mengatasi halangan-halangan yang sedia wujud; halangan perundangan, pentadbiran, kewangan, mentaliti orang Siam terhadap orang Melayu Patani, apakah semua itu sudah boleh diatasinya?. Jawapannya satu pun tidak dapat, jadi kalau orang Melayu menyokong beliau dan beliau boleh menang dalam pilihanraya akan datang, maka ketika diminta untuk melaksanakan wawasan tersebut, yang dijangka akan ditentang habis-habisan oleh kebanyakn rakyat Thai yang beragama Budha, ketika itu parti-parti lain akan dipersalahkan, beliau akan mudah melepaskan tangan di samping mempersalahkan parti-parti lain di atas kegagalan merealisasikan wawasan atau khayalan terseut.

2. Idea tersbut hanya boleh dijayakan sekiranya kuasa pentadiran dipegang oleh orang Melayu Patani sendiri, iatu satu bentuk kuasa yang dipersetujui bersama oleh pejuang-pejuang pembebasan Patani dan pemerintah Thai, setakat ini tiada apa-apa tanda kemajuan yang dapat dilihat telah berlaku kearah itu, sebab perkara ini adalah asas kepada memungkinkan idea tersebut boleh dilaksanakan. Jadi dalam keadaan begini idea tersebut kekal menjadi angan-angan Mat Jenin, menjadi satu khayalan yang boleh dibawa hanya ke dalam mimpi indah sahaja.

3. Pergolakan di Patani adalah di sebabkan Penjajahan, sebab-sebab lain seperti kemiskinan, kejahilan, kezaliman, kekejaman, penganaktirian, pengabaian hak, perikemanusian dan sebagainya adalah sebab kedua atau rintitan dari penjajahan dan dasarnya, kewujudan sebab-sebab di atas hanya membantu untuk menyemarakan pergolakan sahaja. Sekiranya orang Melayu menjadi kaya dan berpengtahuan tinggi sekalipun maka perjuangan pembebasan tetap diteruskan, malahan perjuanganan mereka akan menjadi lebih canggih dari sekarang, sebab yang mereka tuntut ialah hak dan kuasa yang telah dirampas iaitu bumi Patani Merdeka! Itu isu pokoknya bukan yang lain.

4. Segala penyelesaian yang tidak diasaskan kepada hak-hak yang dituntut oleh pejuang-pejuang pembebasan Patani adalah penyelesaian sebelah pihak, ia akan menjadi sia-sia, Patani tidak akan menjadi aman kalau tuntutan mereka tidak diberi perhatian dan tidak diambil kira atau tidak dikembalikan kepada tuan haknya yang asal dan sebenar. Kalau hak dan kuasa mentadbir sudah dikembalikan, maka wawasan seperti yang diigaukan oleh Chavalit dapat dilaksanakan dengan begitu mudah dan akan menjadi kenyataan.

Maka sekiranya orang Melayu Patani termakan cakap atau terikut-ikut dengan khayalan Chavalit, mereka sudah tentu akan membelakang dan meninggalkan perjuangan dan terus bekerjasama dengan Chavalit yang akan menyebabkan akhirnya mereka tidak mampu lagi bangkit semula apabila mereka sedar mereka sudah ditipu dan digula-gulakan, kerana tujuan Chavalit sebenar ialah sekadar memenangi hati orang Patani tak lebih dan tak kurang dari itu, sebab beliau sendiri cukup sedar, ideanya itu hanya sekadar untuk menarik sokongan rakyat Patani supaya berpihak kepada beliau, di mana untuk melaksanakan idea tersebut pula itu adalah sesuatu yang mustahil dapat dilakukan.

Maka jangan sekali-kali kita terjebak masuk dalam perangkap yang bergula dan bermadu yang mulai dipasang sekarang. Hanya pejuang-pejuang pembebasan Patani sahaja yang boleh menjadi penentu kepada kedamaian sebenar dan berkekalan yang sudah tentu sedang di tunggu-tunggu oleh semua rakyat Patani..

puloinfo


Google
www puloinfo.net
 
  © Pulo 2006. All rights reserved.