Hari ini Jumaat 22 hb. Januari 2016 genaplah sudah 48 tahun perjuangan Patani yang diperjuangkan oleh Pertubuhan Pembebasan Patani Bersatu (PULO) yang telah banyak menyumbang dalam mengubah landskap perjuangan Patani baik dari segi kerjasama dengan gerakan-gerakan pembebasan Patani yang lain

ataupun dari segi diplomasi,hubungan dan pengiktirafan antarabangsa.

Penglibatan PULO di bawah pimpinan saudara Kasturi Mahkota dalam Majlis Syura Patani yang dikenali sebagai (Mara Patani) pada 15 hb. Mac 2015 lepas telah memberi peluang kepada PULO untuk menyumbang tenaga pemikiran, kebolehannya di arena antarabangsa dan pengalamannya apabila dapat duduk bersama dengan 5 gerakan pembebasan Patani (GPP) yang lain yang diketuai oleh Barisan Revolusi Nasional (BRN) telah menghasilkan satu gabungan yang mantap dan cukup bertanaga sekali.

Mara Patani merupakan sayap politik bagi semua GPP yang bergabung tenaga dibawah satu payung yang bertujuan khusus untuk mencari penyelesaian politik secara damai di bumi yang bergolak Patani. Setiap ahli dalam GPP telah menunjukan satu kerjasama yang luar biasa; pada peringkat permulaannya ramai tidak menaruh keyakinan tinggi terhadap gabungan muda ini dengan berandaian bahawa GPP yang berada dalam Mara Patani tidak mewakili pihak dan apa yang telah dan sedang berlaku di bumi Patani yang sebenarnya, kerana individu-individu yang telibat atau GPP yang terlibat adalah terdiri dari pihak atau GPP yang terkenal bergerak aktif di luar Patani. Andaian tersebut memang boleh diterima kalau dilihat dari sudut tersebut, akan tetapi andaian ini telah tidak mengambil kira bahawa individu-individu yang bergerak aktif dilapangan adalah pihak atau individu-individu yang perlu disembunyikan dan tidak boleh diketengahkan identiti mereka. Itu yang pertama, yang keduanya pula; Mara Patani adalah sayap politik GPP bukan sayap bersenjata.

Lebih kurang 3 bulan kemudian iaitu pada 5 hb. Jun 2015 satu insiden yang tidak diduga telah berlaku, salah satu gerakan dari 6 GPP telah menarik diri dengan satu alasan yang Mara Patani sendiri belum lagi membincang dan menentukan pendiriannya tentang perkara tersebut, walau bagaimanapun ia tidak sedikit pun menjejaskan peranncangan, kerja-kerja dan hala tuju Mara Patani.

PULO pimpinan Kasturi Mahkota berkeyakinan tinggi bahawa proses yang di fasilitatorkan Malaysia sekarang ini akan dapat berjalan dengan lebih lancar sekiranya ia mendapat sokongan antarabangsa dengan lebih meluas, buktinya 3 pertemuan semeja yang telah berlaku selepas Mara Patani dibentuk, proses tidak boleh bergerak maju kedepan disebabkan kedegilan pihak Thai untuk tidak mengiktiraf kewujudan Mara Patani sebagai satu asas yang paling minima yang diperlukan untuk mana-mana proses seperti ini. Maka kalau Mara Patani sebagai pihak kedua yang sudah berada di meja dialog dengan Thai sendiri pon tidak boleh diberi pengiktirafan, maka tuntutan Pentadbiran Patani Darussalam adalah suatu perkara yang amat jauh dan mustahil untuk diberikan atau diterima pihak Thai, sekiranya sikap tersebut tidah diubah dari sekarang.

PULO berpendapat penglibatan antarabangsa dalam proses penyelesaian ini dalam apa bentuk sekalipun perlu ditingkatkan supaya pihak Thailand terpaksa menerima norma-norma antarabangsa untuk diguna pakai bagi mencari penyelesaian ini; pada umumnya dapat dilihat bahawa Thai masih belum menunjukan kesungguhannya dalam mencari penyelesaian di Patani, masih cuba melarikan diri dari menerima realiti dan fakta, masih ingin bermain dengan kata-kata dan retorik yang tidak menguntungkan. Pihak perwakilan Patani masih mau dipanggil sebagai pihak yang tidak bersependapat dengan kerajaan Thai, proses penyelesaian ini mahu dipanggil proses (Santisuk) aman-makmur, sejarah bangsa Melayu Patani langsung tidak mahu diambil kira, tiada bangsa Melayu Patani, hanya mahu dipanggil Thai Muslim, pergolakan di Patani tidak mahu disebut sebagai satu isu sejarah dan krisis........

Menyedari perkara ini, maka PULO merasakan satu tindakan drastik perlu dilakukan; baik di lapangan atau di peringkat antarabangsa. Maka PULO telah melakukan apa yang patut, dengan membawa pihak-pihak antarabangsa yang berkredibiliti tinggi menemui Mara Patani bagi memaklumkan kepada dunia bahawa orang Melayu Patani begitu bersungguh untuk mencari penyelesaian, pejuang Patani bukan pengganas, mereka juga ingin duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan masyarakat lain di dunia, mereka ingin mencari penyelesaian yang Adil, Menyeluruh dan Berkekalan, berlandaskan norma-norma sejagat yang tidak bercanggah dengan landasan Islam sejati.

Untuk tujuan itu, PULO telah menghubungi OIC khusus supaya ia dapat memberi sokongan dan dokongan terhadap proses yang sedang berjalan, di mana Malaysia dipilih sendiri oleh Thailand untuk menjadi orang tengah dalam proses ini sebagai faslitator. Dengan mengharapkan supaya OIC sekurang-kurang dapat melaksanakan resolosi 1/37 MM di Dushanbe, Tajikistan pada 18-20/5/2010, di mana Thailand sendiri menjadi anggota pemerhati dalam persidangan tersebut. Maka pada 10 hb Januari 2016 yang lepas satu pertemuan khusus antara Setiausaha Agong OIC Iyad Amin Madani dan pegawai-pegawai tertingginya yang berkaitan telah bertemu dengan pihak Mara Patani. Ini menunjukan bahawa perjuangan politik bangsa Melayu Patani di bawah payung Mara Patani telah dapat diletakan di atas landasan yang betul dan mulai diperakui di peringkat antarabangsa.

Sebelum ini, pihak PULO dan beberapa gerakan lain telah berjaya membawa beberapa pihak antarabangsa menemui Mara Patani, supaya Mara Patani bukan sahaja mendapat dokongan pihak negara-negara Islam malahan dunia yang mendokong hak hidup samarata dan yang menyintai kedamaian perlu mengetahui perjuangan bangsa Melayu Patani yang sebenarnya.

Memandangkan dunia sekarang diselubungi keadaan yang tidak menentu kerana wujudnya serangan-serangan keganasan di banyak tempat di dunia yang menakutkan semua orang, PULO semenjak dari dahulu lagi sentiasa berusaha untuk membuktikan kepada dunia bahawa perjuangan bangsa Melayu Patani adalah perjuangan yang hak untuk menentukan nasib sendiri tiada kaitan dengan keganasan antarabangsa, supaya perjuangan Patani tidak boleh dikaitkan dengan mana-mana pihak pengganas antarabangsa. Untuk tujuan itu pihak PULO pada 15-16 hb Januari 2016 telah berjaya menemukan Mara Patani dengan satu pihak antarabangsa bagi tujuan memberi satu kefahaman serta mengharapkan Mara Patani boleh mengguna pakai undang-undang kemanusian antarabangsa atau undang-undang konflik bersejata yang dikendalikan oleh pihak berkaitan sebagai pihak antarabangsa yang mengendalikan tanggongjawab dalam hal ini

PULO telah merancang dengan begitu rapi dan akan bergerak dengan begitu yakin, dengan mensasarkan pada tahun 2016 ini akan bermulalah fasa barunya untuk bertindak mengikut keperluan semasa, ini semua bertujuan supaya proses penyelesaian damai di Patani dapat direalisasikan dengan jayanya, dengan kehendak Allah jua.

Penerangan Pusat
PULO

Announcement & Statements

Latest News

Latest Articles

Special Report